Sekolah Kebangsaan Seri Bayu adalah pecahan dari Sekolah Kebangsaan Teluk Kumbar Pulau Pinang.Sekolah Kebangsaan Teluk Kumbar beroperasi secara dua sesi di dua buah lokasi yang berasingan di Teluk Kumbar. Salah satunya terletak di tepi jalan utama Teluk Kumbar dan juga dikenali sebagai "sekolah padang"(bangunan induk). Sebuah lagi terletak di jalan Gertak Sanggol yang juga dikenali sebagai "sekolah tepi laut".
Kedudukannya yang berasingan telah menyebabkan terdapat beberapa orang guru yang terpaksa berulang-alik diantara sekolah induk dan sekolah tepi laut. Keadaan sebegini tidak begitu praktikal. Ditambah lagi dengan keadaan murid-murid yang semakin bertambah setelah Bandar Baru Perda Teluk Kumbar dibuka, akhirnya sebuah sekolah baru dibina di Kampung Masjid Teluk Kumbar di atas sebuah tapak sawah yang telah ditinggalkan sekitar tahun 1970-an .
Akhirnya "sekolah baru" ini dinamakan Sekolah Kebangsaan Seri Bayu, Teluk Kumbar.Uniknya sekolah ini ialah ia dibina atas dasar konsep baru pembinaan yakni "design and build", menyebab bentuknya tidak terikat seperti bentuk-bentuk sekolah sebelum ini. Pada peringkat permulaan sebahagian guru dan murid dari Sekolah Kebangsaan Teluk Kumbar dipindahkan ke sekolah ini secara peringkat demi peringkat.
Sekolah Kebangsaan Seri Bayu beroperasi secara berasingan dan secara rasminya pada 1 hb. Januari 2001. Guru Besarnya yang pertama ialah En. Othman bin Hussain. Sekolah tepi laut pula telah diambil alih sepenuhnya oleh Jabatan Pelajaran Negeri untuk dijadikan Pusat Sukan Air Sekolah-sekolah Pulau Pinang hingga sekarang.
No comments:
Post a Comment